Lagi dua mangsa terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ dan ‘Parcel Scam’

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

KUCHING, Okt 4: Tiga laporan terbaharu berhubung kes jenayah komersial diterima pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, dua laporan yang diterima adalah berhubung kes ‘Macau Scam’ manakala satu lagi laporan berhubung ‘Parcel Scam’.

“Kes ‘Macau Scam’ tersebut melibatkan seorang wanita yang tidak bekerja dan membabitkan kerugian sebanyak RM900.

Advertisement

“Suspek sebelum itu menghubungi mangsa melalui telefon dengan menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Mangsa kemudian telah membuat pemindahan wang tunai sebanyak RM900 melalui mesin CDM,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Mustafa memberitahu, kes kedua pula melibatkan seorang guru tabika yang terpedaya dengan kes ‘Parcel Scam’ dan melibatkan kerugian sebanyak RM1,850.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan menghubungi mangsa melalui telefon dengan memperkenalkan diri sebagai Ben Marshall dari Scotland.

“Suspek kemudian mengatakan telah mengirim bungkusan hadiah kepada mangsa dan memberitahu mangsa perlu membayar wang sebanyak RM1,850 bagi perlepasan cukai lapangan terbang.

“Mangsa telah terpedaya dan memasukkan wang ke akaun bank suspek,” katanya. — DayakDaily

Advertisement