Kerani sekolah patah tulang bahu terlibat dalam kemalangan

Anggota pertahanan awam serta penduduk kampung sedang membantu mangsa yang cedera.

BAU, Okt 4: Seorang kerani sebuah sekolah rendah di sini berdepan dengan mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Rumih di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun tersebut patah tulang di bahagian bahu kanannya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bau, Patrick Lagak Pateh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.10 pagi.


Jelasnya, sejurus itu, sepasukan tiga anggota pertahanan awam daerah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan tindakan selanjutnya.

“Apabila tiba, anggota pertahanan awam mendapati kemalangan tersebut membabitkan dua motosikal.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang mangsa mengalami patah tulang bahunya, manakala seorang lagi penunggang motosikal yang berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Patrick menambah, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan ke Kampung Opar dari arah bandar Bau.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki secara tiba-tiba keluar dari simpang hingga mengakibatkan kemalangan.

“Operasi tamat sejurus selepas mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bau untuk menerima rawatan lanjut,” katanya. ā€” DayakDaily