Kunjung-mengunjung Hari Raya, Gawai, Pesta Keamatan dibenarkan pada hari pertama

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 13: Aktiviti kunjung-mengunjung pada musim perayaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya dibenarkan pada hari pertama perayaan sahaja.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan yang tarikhnya hampir sama.

Advertisement

“Berhubung prosedur operasi ‘standard’ (SOP) perayaan, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam telah memutuskan untuk menghadkan ativiti kunjung-mengunjung.

“Ia dihad pada hari pertama sahaja dan terhad kepada ahli keluarga terdekat dan tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari.

“Jadi tiada hari raya kedua, ketiga sehingga hari raya ke-30 dan tiada rumah terbuka kerana ia terlarang dalam peraturan Akta 342,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PKPB di Putrajaya hari ini.

Jelas beliau, walaupun dibenarkan seramai 20 orang, saiz rumah juga perlu diambil kira.

Sebagai contoh, katanya, rumah flat yang berukuran 600 kaki persegi mungkin terlalu ramai untuk jumlah 20 orang pada satu satu masa.

“Oleh yang demikian penjarakkan sosial tidak dapat diamalkan, maka mereka boleh masuk lima orang dahulu pada satu-satu masa dan kemudian diikuti lima yang lain sebanyak empat kali.

“Tetapi jumlah maksima tetap 20 orang pada satu hari tersebut,” tegas Ismail Sabri. — DayakDaily

Advertisement