Kumpulan pertama pindah ke Skim Penempatan Semula Darul Hana 1 Ogos 2022

Kelihatan Dr Abdul Rahman (tiga dari kiri) pada Program Penanaman Pokok di Taman Botani Sarawak

KUCHING, 11 Mei: Kumpulan pertama ketua isi rumah (KIR) daripada dua buah kampung akan berpindah ke Skim Penempatan Semula Darul Hana menjelang 1 Ogos ini.

Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi yang juga Adun Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia membabitkan Kampung Panglima Seman dan Kampung Semarang.

“Sebanyak 80 peratus pemohon daripada dua buah kampung telah melakukan cabutan dan bersetuju dengan kedudukan rumah masing-masing.


“Kumpulan pertama ketua isi rumah akan berpindah mulai 1 Ogos ini,” katanya ketika ditemui Program Penanaman Pokok di Taman Botani Sarawak, Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu diadakan bersempena dengan World Tree Planting Day pada setiap 21 Mac.

Berhubung program tersebut, Dr Abdul Rahman berkata, ia membabitkan penanaman sebanyak 50 buah pokok yang terdiri daripada pokok belian, gaharu, ara dan kapor.

“Program ini juga merupakan inisiatif DBKU untuk pemuliharaan dan pemeliharaan pokok-pokok hutan di samping menggalakkan penyertaan orang ramai untuk turut sama menanam pokok bagi tujuan penghijauan dan pengindahan alam sekitar,” katanya.

Menurut Dr Abdul Rahman, pemilihan Taman Botani sebagai lokasi program ini adalah sejajar dengan lokasi Taman Botani Sarawak (TBS) yang strategik.

Katanya, ia terletak di bahagian utara tebingan Sungai Sarawak dan dikelilingi oleh beberapa mercu tanda terkenal seperti Kuching Waterfront, Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Astana.

Taman Botani Sarawak dibangunkan di atas tanah dengan keluasan 206.10 ekar. — DayakDaily