Kumpulan pertama 576 pelajar Sarawak terima RM172,800 menerusi i-GPS

Majlis penyerahan i-GPS di Yayasan Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 13: Seramai 576 pelajar Sarawak menjadi kumpulan pertama pemohon subsidi Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS) yang telah diluluskan.

Penasihat Sarawak Volunteers, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ini melibatkan pembayaran berjumlah RM172,800 yang telah dimasukkan terus ke akaun para pelajar tersebut masing-masing secara berperingkat.


Katanya, pada hari ini, majlis penyampaian i-GPS telah diadakan untuk 10 pelajar yang telah pun menerima pembayaran subsidi tersebut.

“Sejak diumumkan pada Januari 30, 2019 yang lalu, i-GPS telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Setakat Mac 11, 2019, sejumlah 3471 permohonan sudah diterima dan daripada jumlah tersebut, 2775 permohonan sudah pun diproses,” katanya semasa majlis penyampaian i-GPS di Bangunan Yayasan Sarawak di sini hari ini.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberitahu, setakat ini, sejumlah 1275 permohonan telah berjaya manakala 1198 permohonan didapati tidak lengkap.

Jelasnya, mereka yang berkenaan telah pun dihubungi untuk melengkapkan permohonan masing-masing dengan menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan untuk diproses semula.

“Sejumlah 300 lagi permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah 180 pemohon telah pun dimaklumkan dan melalui i-GPS, kerajaan Sarawak menyediakan subsidi berjumlah RM300 kepada pelajar Sarawak yang belajar secara sepenuh masa institusi-institusi pengajian tinggiinggi yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk balik ke Sarawak,” katanya.

Fazzrudin menambah, setiap pelajar adalah layak untuk memohon subsidi i-GPS ini hanya dua (2) kali sahaja dalam setahun.

Katanya, pemberian subsidi berkenaan khusus untuk golongan pelajar sahaja dan mereka perlu mengisi borang online yang disediakan dan memuatnaik salinan itenari perjalanan penerbangan, salinan pas masuk, surat pengesahan terkini sebagai pelajar sepenuh masa di IPT, salinan kad pengenalan dan salinan penyata akaun bank masing-masing.

Butiran lanjut tentang terma dan syarat serta permohonan i-GPS boleh didapati daripada laman rasmi Facebook Sarawak Volunteers di pautan fb.com/sarawakvolunteers.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan ke Sekretariat Sarawak Volunteers di talian 01133221107 / 082536235 atau melalui emel sarawakvolunteers@gmail.com atau igps.sv@gmail.com. — DayakDaily