KUCHING, Mei 1: Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu Jugah Muyang telah menyeru semua rakyat di kawasan tersebut, tanpa mengira ideologi politik, untuk berganding bahu menganjakkan ekonomi daerah tersebut.
Rakyat perlu melihat kepada kerangka yang lebih besar dan bekerjasama ke arah perlaksanaan pembangunan di kawasan Lubok Antu supaya bebas daripada statistik dalam 10 daerah termiskin di Malaysia, katanya.
“Adalah menjadi dasar utama kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar bagi merapatkan jurang kemiskinan antara luar bandar dan bandar. Usaha tersebut dilakukan melalui pelbagai program pembangunan dilaksanakan kerajaan persekutuan untuk manfaat rakyat keseluruhannya.
“Peranan pemimpin kerajaan persekutuan serta kerjasama dan sokongan ketua masyarakat sebagai jambatan penghubung penduduk dengan kerajaan sangat penting agar segala pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ngindang, Nanga Delok Ulu di Lubok Antu pada Isnin lepas (April 29).
Jugah turut menyumbangkan geran sebanyak RM37,000 kepada Rumah Ngindang dan RM20,000 untuk tujuh MPKK rumah panjang sekitar Rumah Ngindang.
Beliau juga meminta rakyat di kawasan Parliman Lubok Antu untuk memberi kerjasama terhadap kerajaan persekutuan ketika projek pembangunan dilaksanakan di penempatan masing-masing.
“Kita menggesa agar masyarakat terus memberikan sokongan penuh kepada kita untuk merealisasikan agenda dan dasar pembangunan kerajaan Pakatan.
“Angin perubahan di Lubok Antu semakin terasa. Permasalahan penduduk selama ini mendapat perhatian kerajaan persekutuan yang terbukti prihatin dengan nasib rakyat,” katanya. — DayakDaily