Kuching Marathon: Orang awam diminta rujuk pelan penutupan dan lencongan jalan

Pelan penutupan dan lencongan jalan raya sempena Kuching Marathon 2018

KUCHING, Ogos 8: Kuching Marathon 2018 merupakan program larian marathon bertaraf antarabangsa anjuran Kuching Marathon Association yang berlangsung pada Ogos 12 ini (Ahad) bertempat di Padang Merdeka di sini.

Dianggarkan seramai 10,000 peserta dari dalam dan luar negara akan mengambil bahagian dalam acara Full Marathon (42km), Half Marathon (21km), dan ‘fun run’ 10km dan 5km.

Acara berkenaan dijangka bermula pada pukul 12.01 tengah malam hingga 8 pagi (Ahad). Larian Marathon bagi semua kategori ini akan bermula dan berakhir di Padang Merdeka di sini.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Ismail Mahmood berkata, bagi melancarkan laluan awam dan juga demi keselamatan peserta larian beberapa laluan jalan raya sekitar venue permulaan dan penamat program akan ditutup dan dilencongkan.

Katanya, antara laluan yang terlibat ialah Persimpangan Jalan Main Baazar/ Lebuh Wayang, Jalan Gambier/ Jalan Tun Abang Haji Openg /Jalan Main Baazar, Jalan Lebuh Wayang/ Jalan Wawasan, Jalan Borneo/ Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Abell ke Jalan Padungan, Jalan Padungan dari arah Bulatan Sri Aman, Lampu Isyarat RTM/ Jalan Satok ke Padang Merdeka Jalan Haji Taha, Jalan Khoo Hun Yeang, Jalan Masjid, Jalan Tunku Abdul Rahman (Tugu Kuching ) dan Lampu Isyarat St Mary menghala ke Lebuh Wayang.

“Orang awam yang ingin menghadiri dan menyaksikan Kuching Marathon 2018 ini adalah dinasihatkan untuk meletak kenderaan di Reservior Park, Taman Budaya, Green Hill, Bangunan Saujana, Medan Kereta Top Spot, Dewan Suarah Kuching, Tempat Letak Kereta Poliklinik, Jalan Masjid dan Medan Letak Kereta Padang Jubilee MBKS.

“Selain itu, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Pearl, Jalan Barrack dan Jalan Wawasan juga akan ditutup seawal pukul 11.30 pagi pada Ogos 11 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan gerbang permulaan dan penamat larian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ismail menambah, orang awam juga dinasihatkan untuk merancang masa perjalanan masing-masing pada hari tersebut sekiranya mempunyai urusan di kawasan pusat bandar atau bagi tujuan menghadirkan diri menyertai Kuching Marathon 2018.

Jelasnya, orang awam dimohon mematuhi tanda-tanda isyarat kawalan lalulintas yang diarahkan oleh pegawai polis dan pasukan beruniform yang bertugas kelak.

“Orang awam juga dilarang meletak kenderaan di bahu-bahu jalan berdekatan venue permulaan dan penamat larian yang boleh menyebabkan kesesakan lalulintas kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan bagi melancarkan program larian Kuching Marathon 2018 demi menunjukkan bersama semangat memajukan industri sukan dan pelancongan di negeri Sarawak,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ismail memberitahu, sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Kuching Marathon Association atau merujuk kepada papan notis pemberitahuan penutupan jalan yang telah dipasang di setiap lokasi jalan yang ditutup.

Orang awam juga boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching, DSP Heffyear William Awet atau Inspektor Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching, Inspektor Brymenedren Godon di talian 082-221129. — DayakDaily