BARAM, 13 Mei: Dua buah kuarters guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini (Khamis).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya hanya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.34 petang dan kebakaran berlaku pada pada jam 3.40 petang.
Menurutnya, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi Maureen Sim melaporkan pihaknya lewat menerima laporan disebabkan masalah telekomunikasi di tempat kejadian.
Beliau menjelaskan lebih lanjut bahawa saksi kejadian melihat ketika menyedari api sedang marak cuba memadam kebakaran namun tidak berjaya dan terus mendapatkan bantuan dari penduduk kampung.
“Penduduk kampung bersama ahli Pasukan Bomba Sukarela Long Bemang terus ke lokasi kejadian membawa alat pemadam api dan pam angkut untuk mengawal dan memadam kebakaran.
“Namun kuarters tersebut gagal diselamatkan kerana bangunan sudah hampir 100 peratus dijilat api semasa mereka mula melawan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.30 petang.
Difahamkan, kedua-dua kuarters yang didiami oleh empat orang guru tersebut tidak berpenghuni semasa kebakaran disebabkan musim cuti sekolah.
Jarak sekolah tersebut dengan Bandaraya Miri adalah kira-kira 200 kilometer dan mengambil masa sekurang-sekurangnya lima jam perjalanan melalui jalan balak.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily