KUCHING, 30 Mei: Tindakan Iswardy Morni dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melempar tohmahan ke atas Ketua Menteri dan juga Kerajaan Negeri Sarawak berkenaan dengan pengurusan pandemik Covid-19 harus dikutuk sekeras-kerasnya.
Selain itu tegas Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman, kelakuan beliau (Iswardy) yang menggunakan kata kesat dalam mengkritik pemimpin negeri ini disifatkan sebagai biadap.
“Walaupun kerajaan membuka ruang kepada cadangan, maklumbalas dan juga kritikan, harus diingat, kesemuanya ada had yang tertentu.
“Sekiranya pandangan yang diberi oleh individu tersebut adalah berasas sekalipun, cara penyampaian yang dipilih beliau tidak beradab dan keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fazzrudin, yang juga Adun Tupong, merujuk kepada video yang dimuatnaik oleh Iswardy di laman Facebook beliau pada Sabtu (29 Mei).
Justeru, beliau menggesa rakyat Sarawak untuk tidak terikut-ikut atau terpedaya dengan tingkah laku dan fitnah yang dilemparkan.
Katanya, ianya bukan sahaja melulu bahkan ia bukanlah dalam budaya kita sebagai rakyat Sarawak yang menyanjung tinggi nilai budi bahasa.
Dalam kenyataan itu, Fazzrudin berkata kerajaan negeri terus komited untuk melandaikan lekuk Covid-19 di Sarawak dan akan terus bekerja keras menuju ke arah ini.
Ini termasuk membentuk dasar bagi membendung Covid-19 dan mengenakan sekatan pergerakan jika diperlukan.
Sarawak katanya, diberi autonomi dari segi membuat keputusan untuk memastikan dasar yang dibuat sesuai dengan konteks tempatan.
“Kelainan dan cabaran yang unik untuk menangani pandemik Covid-19 di negeri ini memerlukan dasar dan pelaksanaan yang bertepatan dengan suasana di Sarawak
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) juga mendapat khidmat nasihat dari pakar kesihatan di mana setiap perkara diteliti secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat,” ujar beliau.
Menurut Fazzrudin lagi, kerajaan negeri menitikberatkan kelangsungan hidup rakyat dengan memberi bantuan segera kepada mereka yang memerlukan.
“Ini terbukti dengan pengumuman baru-baru ini oleh Ketua Menteri melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 dan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada setiap kawasan DUN untuk pengagihan bantuan bekalan makanan kepada mereka yang terjejas,” katanya. — DayakDaily