KPT cadang naik taraf kolej kediaman IPT di Sarawak

Wan Junaidi (empat dari kiri) bersama Zambry (tiga dari kiri) di Astana Negeri. Foto: TVS

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 6 Mac: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bercadang untuk menaik taraf kolej kediaman pelajar yang menginap di dalam kampus di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Negeri ini, kata Menterinya Dato Sri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurut laporan TVS, Zambry berkata inisiatif berkenaan berikutan KPT peka terhadap keperluan kebajikan serta kesejahteraan para pelajar.


“Sepanjang dua hari lawatan, saya melihat dari segi kedudukan institusi-institusi sedia ada ia perlukan perhatian.

“Ini termasuklah usaha baik pulih dan sebagainya. Saya sudah berada di Unimas (Universiti Malaysia Sarawak) dan tadi saya telah ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan selepas ini saya akan ke politeknik.

“Saya sendiri tidak berpuas hati dengan keadaan sebahagian kolej dan asrama yang agak uzur kerana kedudukan asrama yang telah dibina kira-kira 27 tahun yang lalu dan tentunya ia memerlukan sedikit baik pulih dan ini setelah saya mendapat maklum balas daripada pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junadi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak hari ini.

Tambah Zambry, kerajaan persekutuan juga optimis mengukuhkan kedudukan IPT di Sarawak.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus berurusan di Sarawak khususnya dibawah kepimpinan YAB Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan Wan Junaidi sebagai canselor (Unimas) tentunya dengan kedudukan ini, hubungan dengan kedua-dua pemimpin akan menjadi bertambah mantap.

“Bagi kerajaan persekutuan pula, kita mempunyai tiga buah universiti iaitu Unimas, dua kampus UiTM dan kampus UPM (Universiti Putra Malaysia). Selain itu kita ada tiga kampus politeknik dan tujuh kolej komuniti di Sarawak,” ujarnya. — DayakDaily