KPDNHEP S’wak pantau pematuhan SOP PKP

Pegawai-pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan pemantauan pematuhan SOP PKP di sebuah pasaraya di Kuching.

KUCHING, 19 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak setakat ini telah memeriksa sebanyak 2,798 premis perniagaan yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Mogan a/l Arumugam, seramai 179 orang pegawai penguatkuasa dan 101 orang pegawai pemantau harga terlibat membuat pemantauan dan pemeriksaan Khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Pemeriksaan dan pemantauan dilakukan secara berterusan ke atas premis perniagaan di seluruh negeri Sarawak dalam memastikan pematuhan SOP PKP dikalangan pihak industri dipatuhi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Jelas beliau, KPDNHEP telah diberi tanggungjawab bagi menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] sejak 13 Mei 2020.

Katanya, melalui kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 25, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342], Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP boleh mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah peraturan-peraturan. — DayakDaily