KPDNHEP serbu stesen minyak di Klang

Pegawai kementerian melakukan pemeriksaan terhadap lori tangki yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Advertisement

KUCHING, 11 April: Sebuah stesen minyak di Klang, Selangor yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi diserbu pada 7 April lepas.

Menurut Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam, hasil serbuan pihaknya menyita minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder CCTV dan resit jualan bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM74,862.50.

Advertisement

“Ketika serbuan dilakukan ke atas stesen minyak tersebut, terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel di dalam tangki simpanan di stesen minyak berkenaan.

“Pemandu lori terbabit baru membuat pengisian minyak berjumlah RM250.

“Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu lori terbabit telah membuat bayaran berjumlah RM1,000 bagi pengisian tersebut secara tunai di stesen minyak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua tangki simpanan mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 5,000 liter.

Katanya, individu lelaki warga tempatan berumur 60 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan,” ujar Azman. ā€” DayakDaily

Advertisement