KPDNHEP Sarawak serbu 3 premis disyaki pamer cap dagangan palsu

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sarawak melakukan pemeriksaan. (gambar fail)

KUCHING, 5 Ogos: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak semalam menyerbu 3 buah premis di Batu Kawah dan Matang disyaki menawarkan barangan menggunakan cap dagangan palsu.

Pada serbuan tersebut, makanan dalam tin jenama “Gulong-Stewed Pork Sliced” dan “Gulong-Pork Mince With Bean Paste” dirampas dengan nilai keseluruhan RM517.

“Serbuan dilakukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sarawak hasil aduan daripada pemilik cap dagangan.

“Siasatan awal mendapati cap dagangan berdaftar telah dipakaikan dengan salah bagi maksud perdagangan atau pengilangan,” menurut kenyataan KPDNHEP hari ini.

Sebanyak 17 unit makanan tin jenama “Gulong-Stewed Pork Sliced” dan 44 unit “Gulong-Pork Mince With Bean Paste” telah dirampas untuk siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102, Akta Cap Dagangan 2019. — DayakDaily