KPDNHEP Sarawak: Peniaga naikkan harga topeng muka dikenakan kompaun RM10,000

Pegawai KPDNHEP menunjukkan topeng muka yang di bawah senarai barang harga kawalan.(gambar fail)

KUCHING, Feb 19: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak semalam mengenakan kompaun ke atas seorang peniaga yang didapati menjual topeng muka melebihi harga kawalan di Kuching.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Mohd Hanizam Kechek menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, tindakan adalah berasaskan aduan orang awam terhadap sebuah farmasi.

“Farmasi tersebut telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana didapati menjual topeng muka jenis N95 melebihi harga kawalan RM6.00 seunit yang telah ditetapkan oleh kementerian.

“Kes telah diambil tindakan di bawah Sekyen 11, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal selain harga mengikut harga maksimum runcit yang ditentukan,” katanya.

Tambah Mohd Hanizam, kementerian akan mengambil tindakan tegas sekiranya peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah didalam situasi orang ramai memakainya sebagai langkah keselamatan dan pencegahan dari wabak Covid-19.

Katanya, sebarang perlanggaran di bawah peruntukan akta ini bagi kesemua jenis topeng muka yang dinyatakan tersebut boleh dikenakan tindakan undang- undang.

“Pertama, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Dan, syarikat boleh didenda sehinga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” ujar beliau. — DayakDaily