KPDNHEP Sarawak ingatkan peniaga patuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

Operasi pemantauan skim harga maksimum musim perayaan sedang dilakukan.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Mei 27: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah mengadakan operasi pemantauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa dan Hari Gawai Dayak di Pasar Basah Serian dan Pasaraya H&L di sini hari ini.

Operasi berkenaan dilakukan bagi memaklumkan kepada rakyat tentang langkah Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Mohd Hanizam Kechek berkata, sebanyak 18 jenis barangan telah dikenalpasti bagi pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2019.

Katanya, manakala sebanyak 14 jenis barangan lagi bagi pelaksanaan SHMMP Hari Gawai Dayak 2019.

“Para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

“Bagaimanapun, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah,” katanya di sini hari ini.

Mohd Hanizam menambah, para peniaga juga diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

Tegasnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

“Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya. — DayakDaily