KPDNHEP rampas alat teknologi penstriman bernilai RM404,500 di Skudai

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP merampas alat teknologi penstriman.

KUCHING, 19 Okt: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini merampas 600 unit alat teknologi penstriman pelbagai jenama yang disyaki mengandungi karya hak cipta.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Azman Adam berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM404,500.

“Kementerian telah melakukan serbuan ke atas sebuah premis perniagaan yang terletak di Jalan Mutiara, Skudai, Johor yang menjual alat teknologi penstriman minggu ini.


“Serbuan yang bermula pada jam 1.00 tengah hari itu hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDNHEP selama beberapa hari sebelum tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seorang individu wanita warganegara tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit untuk siasatan lanjut.

Premis disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman. — DayakDaily