KUCHING, 25 Sept: Sehingga 15 Sept, Program Food Bank Siswa telah memberi manafaat kepada seramai 19,754 pelajar di 27 buah IPTA, IPTS dan Politeknik di seluruh negara.
Program yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bertujuan memberi bantuan makanan kepada pelajar yang memerlukan.
Selain itu menurut Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ia juga bertujuan meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh pelajar tersebut.
“KPDNHEP melalui pelaksanaan Program Food Bank Siswa akan terus komited untuk mempergiatkan usaha bagi membantu pelajar di IPT daripada keluarga kurang berkemampuan agar mereka dapat memberi fokus dengan lebih baik terhadap pembelajaran.
“Untuk makluman, Program Food Bank Siswa adalah satu inisiatif kesinambungan daripada Program Food Bank Malaysia yang telah diperkenalkan mulai 15 Februari 2019 oleh KPDNHEP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nanta, program turut mengalu-alukan penglibatan pelajar terutamanya persatuan pelajar sebagai penggerak program yang mana boleh dijadikan sebagai platform bagi membentuk semangat dan budaya kesukarelawan di kalangan pelajar IPT.
Pada tahun ini katanya lagi, dua buah IPT telah berjaya melaksanakan program ini iaitu Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) dan Politeknik Muadzam Shah, Pahang.
Pada masa yang sama ujar Nanta, kementerian sedang membuat persediaan untuk melaksanakan Program Food Bank Siswa di 3 buah IPT iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Management Science University (MSU), Shah Alam dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Johor.
“Pelaksanaan program ini menggunakan konsep Food Pantry di mana pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar(HEP) akan menyediakan tempat penyimpanan makanan kering untuk diagihkan kepada pelajar mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pihak Kementerian akan sentiasa bekerjasama dengan pihak KPT bagi memastikan usaha untuk menjaga kebajikan pelajar akan terus dapat dibantu melalui inisiatif program ini,” katanya. — DayakDaily