KPDNHEP: Pendaftaran perniagaan percuma kepada belia dan ibu tunggal B40

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

Oleh: Chris Bishop

KUCHING, 15 Dis: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) akan memperluaskan inisiatif pendaftaran perniagaan percuma kepada golongan belia dan ibu tunggal B40 dalam usaha untuk merangsang serta merancakkan pertumbuhan sektor perdagangan domestik akibat impak pandemik Covid-19.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata KPDNHEP melalui agensinya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan merangka kaedah yang bersesuaian bagi membolehkan golongan ini memanfaatkan skim pendaftaran perniagaan percuma ini.


“Usaha SSM memperluaskan inisiatif pendaftaran perniagaan percuma kepada golongan belia dan ibu tunggal B40 ini bakal mencetus minat
berniaga dan menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan ini untuk menceburi bidang perniagaan.

“Ini boleh menjana pulangan pendapatan tambahan yang dapat menampung kehidupan seharian mereka seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan sektor perniagaan di negara ini,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin di sidang parlimen hari ini.

Cha bertanya mengenai bentuk bantuan yang ada disediakan untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, belia dan pelajar
yang baru memulakan perniagaan mereka.

Selain itu, Alexander berkata SSM juga menggalakkan belia dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma melalui Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan(S1P1P) yang telah diperkenalkan pada 1 Januari 2017.

“Golongan OKU juga disaran untuk memanfaatkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) yang ditawarkan oleh SSM bagi mendaftar perniagaan baharu dan memperbaharui pendaftaran perniagaan secara percuma. Skim ini mula diperkenalkan pada 23 Oktober 2012,” katanya.

Tambah beliau, SSM juga telah membangunkan produk SSM BizTrust pada 20 Julai 2017 bertujuan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang beretika dalam talian dan pada 20 November 2020 SSM melalui Kementerian ini telah mengumumkan lanjutan tempoh pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Disember 2021.

SSM turut giat menggerakkan sektor komuniti peniaga dan korporat yang terjejas dengan melaksanakan lapan inisiatif yang bersifat inklusif bagi mengurangkan beban masalah dan tekanan yang dihadapi sektor berkenaan. – DayakDaily