KUCHING, 20 JAN: Pembelian minyak masak pek polybag 1 kilogram kini dihadkan sebanyak tiga unit per transaksi untuk setiap pelanggan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, kebenaran penetapan had pembelian tersebut berkuatkuasa pada 19 Januari 2021.
“Ianya bertujuan untuk memastikan lebih ramai pengguna berpeluang memperoleh bekalan minyak masak yang diberikan subsidi kerajaan.
“Adalah diingatkan kepada penjual runcit kebenaran ini adalah terpakai kepada minyak masak pek polybag 1 kilogram sahaja dan perlu dijual dengan harga RM2.50 sekilogram,” kata Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, tiada had pembelian perlu dikenakan ke atas minyak masak bukan dalam pek polybag 1kg.
Menurut beliau lagi, minyak masak dalam bungkusan polybag 1kg merupakan barang kawalan yang diberikan subsidi di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).
Katanya, pihak kerajaan komited dalam memastikan kestabilan keberadaan bekalan minyak masak polybag 1kg yang diberikan subsidi untuk memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga yang ditetapkan iaitu RM2.50 sekilogram, khususnya dalam cabaran situasi pandemik Covid-19.— DayakDaily