KUCHING, 5 Jan: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berbanding RM110.5 bilion pada tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan sektor yang dikawal selia oleh KPDNHEP tetap mencatatkan perkembangan yang positif walaupun negara masih menghadapi isu Covid-19, bencana banjir, kelembapan ekonomi dan kenaikan harga barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Kementerian menyokong usaha Kerajaan dalam merancakkan semula pemulihan ekonomi.
Ini melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan di dalam dokumen RMK-12 dan Bajet 2022 untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Katanya, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang sedang dilaksanakan oleh KPDNHEP dan agensi kerajaan yang lain diharap dapat membantu meringankan kos sara hidup Keluarga Malaysia.
PJKM telah dilaksanakan di seluruh 222 parlimen bermula 2 Disember 2021 dan akan diteruskan sehingga Mac 2022.
“Kementerian juga telah memperkenalkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dilaksanakan bermula pada 7 Disember 2021.
“Skim ini diperkenalkan bertujuan menstabilkan harga barangan keperluan asas pada masa ini. Skim ini juga dilanjutkan sehingga 4 Februari 2022,” ujar beliau.
Menurut Nanta lagi, kesemua inisiatif yang telah dilaksanakan itu di samping pemeriksaan yang berterusan oleh Penguat Kuasa KPDNHEP adalah usaha berterusan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Ia bagi memberi pelbagai pilihan kepada pengguna untuk berjimat melalui pembelian yang terancang, di mana dan bila barang keperluan itu dibeli.
Usaha ini katanya akan dilanjutkan dengan pelbagai program bersifat rakyatcentric yang akan dilaksanakan dalam tahun 2022.
Ini melibatkan Jualan Back-toSchool, Jualan Musim Perayaan, Jualan Hari Kebangsaan, Jualan Bulan Sukan dan sebagainya.
Dalam pada itu ujar Nanta, tugas penguatkuasaan turut giat dijalankan oleh KPDNHEP melalui OPS Cakna, OPS Pasar dan OPS Menu.
“Ini bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan ke atas insiden banjir yang melanda negara barubaru ini,” katanya. — DayakDaily