KPDNHEP kerah 277 pegawai penguakuasa dan pemantau harga sepanjang perlaksanaan SHMMP 2021

Tan (kanan) menunjukkan tanda harga berwarna merah jambu ketika melakukan pemantauan SHMMP 2021di pasaraya Emart Matang di Kuching.

KUCHING, 23 April: Seramai 176 pegawai Penguakuasa dan 101 pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak akan berada di semua lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya sepanjang perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021.

Ia bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga barangan keperluan sepanjang perlaksanaan skim tersebut yang bermula sejak 21 April lalu hingga 20 Mei depan.

Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, sebanyak 12 jenis barangan keperluan disenaraikan dalam skim berkenaan berdasarkan pemintaan semasa pengguna terhadap barangan terbabit di pasaran.


“Antara barangan yang disenaraikan dalam SHMMP ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging lembu import, daging kerbau import, telur ayam gred A,B dan C, ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang dan ikan aya atau ikan tongkol,” katanya menerusi satu kenyataann hari ini

Beliau berkata, KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga dari punca-punca berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP.

Pada masa sama, pandangan daripada pelbagai agensi Kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)  dan maklumat dari pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut turut diambil kira dalam menentukan harga siling bagi 12 barangan terbabit.

Tan berkata, sejak perlaksanaan SHMMP 2021, sebanyak 687 premis telah diperiksa dan berjaya menghasilkan lima kes atas pelbagai kesalahan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM111 dan kompaun RM100

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah menjual barangan melebihi harga maksimum barang harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu sebanyak empat kes dan satu kes lagi atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual di bawah akta sama,” katanya.

Tambah Tan,  sepanjang perlaksanan SHMMP 2021, peniaga diwajibkan untuk mematuhi arahan yang ditetapkan dibawah skim terbabit selain perlu meletakan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan kawalan yang dijual oleh mereka

Katanya kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakkan kompaun atau denda dikenakan ketas peniaga terlibat.

“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 sementara syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Tan (kanan) bersama pegawai penguatkuasa KPDNHEP melihat senarai barangan kawalan ketika melakukan pemantauan dan pemeriksaan semperna perlaksanaan SHMMP 2021 yang dilaksanakan hingga 20 Mei depan.

Sejak 1 Januari sehingga hari ini (23 April, 2021), KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 18,838 premis perniagaan pelbagai peringkat seperti ladang, pengilang, pengimport, pengeluar, pemborong dan peruncit meliputi kawasan bandar dan luar bandar.

Sepanjang tempoh tersebut sebanyak 424 kes telah berjaya dihasilkan dengan nilai rampasan bernilai RM847,974.90 dan jumlah kompaun sebanyak RM39,700. — DayakDaily