KPDNHEP Kapit sita dua kenderaan diesel bernilai RM1,300

Al Redzamani Abdul Razak

KAPIT, 25 April: Minyak diesel sebanyak 605 liter yang dianggarkan bernilai RM1,300 termasuk dua kenderaan pacuan empat roda berjaya disita pasukan Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kapit dalam satu operasi baru baru ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Kapit Al Redzamani Abdul Razak berkata, sitaan itu dilakukan selepas mendapati pembelian minyak diesel dilakukan tanpa sebarang permit atau surat kebenaran yang sah.

“Kita berjaya menahan dua buah pacuan empat roda bersama beberapa drum diesel dianggarkan bernilai RM1,300 di sebuah stesen minyak di sini.


“Sitaan ini merupakan yang pertama sejak Januari 2021 dan kes ini akan kita siasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Al Redzamani berkata, jika didapati bersalah, penalti akan dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala jika syarikat, denda RM3 juta akan dikenakan untuk kesalahan pertama.

Dalam pada itu, Al Redzamani memberitahu pihaknya tidak sebarang aduan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 di daerah Kapit, Song dan Belaga yang yang bermula pada 21 April, 2021.

“Bekalan ayam juga mencukupi dan peniaga mematuhi harga maksimum RM10.90 sekilogram bagi ayam standard. Tanda harga juga dipamerkan dengan jelas,” katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, beliau berkata semua peniaga didapati patuhĀ  kepada SHMMP.

Katanya, tindakan pemeriksaan dan pemantauan diteruskan bagi menjamin kestabilan bekalan serta harga barangan di musim perayaan akan datang.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan menerusi portal e-Ā aduan@kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1800-886-800, e-mel ke alamatĀ e-aduan@kpdnhep.gov.my, menggunakan aplikasi Ez ADU atau WhatsApp ke 019-279 4317,” katanya. ā€” DayakDaily