762 orang golongan berisiko 60 tahun ke atas di Sri Aman terima suntikan vaksin

Harden (dua dari kiri) pada tinjauan ke pusat pemberian vaksin di Sri Aman.

KUCHING, 25 April: Seramai 762 orang golongan berisiko yang berusia 60 tahun ke atas menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi Program Imunisasi Kebangsaan Fasa Kedua di Sri Aman pada semalam.

Menurut Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, ia merupakan pemberian pertama vaksin Covid-19 kepada golongan tersebut.

Beliau yang juga Adun Simanggang berkata, pihak kerajaan menyasarkan seramai 82,379 orang menerima vaksinasi di Bahagian Sri Aman.


“Justeru, saya menyeru agar masyarakat di Sri Aman membuat pendaftaran segera untuk mendapatkan vaksin melalui MySejahtera atau melalui Pejabat Daerah.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang sukarela mendapatkan suntikan vaksin dan ini menepati aspirasi kerajaan untuk memastikan semua golongan sasar menerima suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui dalam Program Suntikan Vaksin Covid-19 Bahagian Sri Aman.

Sementara itu di Mukah, seramai 120 penerima yang merupakan golongan berisiko yang berusia 60 tahun ke atas menerima dos pertama vaksin di Dewan Suarah Mukah semalam. — DayakDaily