KPDNHEP: Harga petrol, diesel dikuatkuasa melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan

A vehicle getting refueled at a petrol station. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Jun 11: Penguatkuasaan terhadap pematuhan harga jualan runcit petrol dan diesel adalah lebih berkesan dibuat melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB).

“Ini kerana AKB memperuntukkan hukuman yang lebih berat terhadap mana-mana syarikat minyak atau pengusaha stesen minyak yang didapati menjual melebihi harga yang ditetapkan.

“Di bawah AKB, kegagalan untuk mematuhi Arahan Pengawal Bekalan merupakan satu kesalahan dan hukuman penalti yang dikenakan adalah sehingga RM5 juta.

“Lesen barang kawalan petrol dan diesel boleh dibatalkan atau digantung oleh mahkamah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Nanta, kadar penalti ini jauh lebih tinggi berbanding kadar penalti yang dikenakan melalui penguatkuasaan warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) sehingga RM1 juta sahaja.

Beliau percaya tindakan penguatkuasaan di bawah AKB dapat dijalankan dengan lebih berkesan demi melindungi hak pengguna dan memastikan pematuhan syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak ke atas harga jualan runcit petrol dan diesel yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kementerian juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel, iaitu melalui Automatic Pricing Mechanism (APM),” ujar beliau. — DayakDaily