KPDNHEP: Harga minyak masak dijamin bawah RM30 untuk 5kg

Morgan (kiri) melakukan pemeriksaan terhadap harga minyak masak di sebuah premis di Kuching semalam (1 Ogos 2021).

KUCHING, 2 Ogos: Pengguna di negeri ini dijamin untuk mendapatkan bekalan minyak masak bawah harga RM30 untuk 5kg dan juga pada lain-lain kuantiti tanpa mengira kepada kedudukan harga sawit semasa.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Morgan a/l Arumugam berkata, ini dilaksanakan menerusi penetapan harga runcit maksimum bagi minyak masak tulen.

“Melalui program ini, harga minyak masak sawit botol 5 kilogram diputuskan untuk dikawal supaya harganya tidak melebihi RM30 sebotol.

“Sehubungan itu, KPDNHEP telah mewartakan harga minyak masak sawit tulen melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan yang telah berkuat kuasa 1 Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan telah menetapkan bahawa harga runcit maksimum bagi minyak masak 5 kilogram (botol) ialah RM29.70, manakala bagi kuantiti 3 kilogram (botol) ialah RM18.70.

Bagi kuantiti 2 kilogram (botol) ialah RM12.70 dan 1 kilogram (RM6.70)

Bagi menjamin harga tersebut, Morgan berkata satu pemeriksaan telah dijalankan semalam di 56 premis perniagaan sekitar bandar Kuching dan peniaga didapati patuh terhadap harga runcit maksimum yang telah ditetapkan.

“Pemantauan dan pemeriksaan berterusan akan di lakukan setiap hari di kawasan bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman.

“Ini bagi memastikan pematuhan terhadap harga maksimum minyak masak sawit ini disamping memastikan kedudukan bekalan barang-barang keperluan asas adalah terkawal dan stabil,” ujar beliau.

Untuk rekod statistik, bagi 1 Januari sehingga 1 Ogos 2021, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 41,913 premis perniagaan pelbagai peringkat seperti ladang, pengilang, pengimport, pengeluar, pemborong dan peruncit meliputi kawasan bandar dan luar bandar.

Sepanjang tempoh ini, KPDNHEP Negeri Sarawak telah menghasilkan keseluruhan kes sebanyak 841 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM1,803,675.19 dan jumlah kompaun sebanyak RM87,300. — DayakDaily