KPDNHEP: Hanya pengguna dengan sijil digital MySejahtera dibenar masuk premis

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 15 Ogos: Kerajaan akan memastikan hanya pengguna yang telah menerima vaksinasi lengkap melalui sijil digital MySejahtera sahaja dibenarkan masuk ke premis.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia berikutan pengumuman pembukaan 11 sektor ekonomi domestik di negeri Fasa 1 dan 11 sektor di Fasa 2 mulai esok.

“Kementerian meyokong penuh keputusan kerajaan mempercepatkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.


“Ia berdasarkan kadar vaksinasi orang dewasa yang telah mencapai purata 72.1 peratus untuk dos 1 dan 44.5 peratus untuk dos 2.

“Serta purata sehari pesakit yang menunggu di wad kecemasan yang telah menurun secara drastik dari 909 orang kepada 239 orang pada 13 Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, kementerian turut merasakan kesan yang dihadapi oleh pemain industri sektor peruncitan dan pengedaran apabila perniagaan dan premis terpaksa ditutup selama tiga bulan sejak 12 Mei 2021.

Katanya, ia turut memberi kesan kepada semua rantaian sektor termasuk pekerja dan keluarga, pembekal dan pemborong.

Kementeriannya, ujar beliau, menyeru kepada semua komuniti pengguna dan peniaga untuk sama-sama bekerjasama memastikan mereka, ahli keluarga dan pekerja mereka telah divaksinasi.

“Setakat 14 Ogos 2021, seramai 32,887 orang telah menerima vaksin melalui Program Vaksinasi Industri Peruncitan di seluruh negara termasuk di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Melaka.

“KPDNHEP akan mengarahkan semua Pegawai Penguatkuasa untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari.

“Ini bagi memastikan pembukaan 22 sektor tambahan ini tidak memberi kesan kepada penularan semula wabak Covid-19 di negara kita,” katanya. ā€” DayakDaily