KPDNHEP guna pendekatan berbeza promosi KBBM

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Pelbagai pendekatan digunakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mempromosikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di semua peringkat lapisan rakyat, termasuk golongan kanak-kanak.

Ia termasuk menerusi penampilan khas menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam  episod ke-14 animasi popular, ‘Upin & Ipin – Barang Baik, Barang Kita’ yang disiarkan menerusi platform youtube.

Beliau berkata, penerbitan episod itu sebahagian daripada usaha kementeriannya dalam menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), khusus bagi membantu membina semula ekonomi domestik negara ini dan meningkatkan kuasa beli rakyat.


“Ia jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu mempromosikan barangan buatan tempatan yang berkualiti dan setanding barangan luar melalui slogan ‘Barang Baik, Barang Kita’,” katanya.

Penambilan khas Nanta dalam episod ke-14 siri animasi itu  menjadikan beliau menteri Kabinet pertama yang membuat kemunculan khas dalam siri animasi tersebut yang cukup  popular bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak di negara ini tetapi juga negara serantau.

Malah ia turut mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya meraih 2.9 juta tontonan dalam tempoh 48 jam ia disiarkan.

Pencapaian itu sekali gus memberikan rekod tersendiri untuk syarikat penerbitan siri animasi popular berkenaan, Les Copaque Production Sdn Bhd apabila episod berkenaan meraih jumlah tontonan tertinggi dalam tempoh yang singkat.

Nanta turut menganggap kemunculannya dalam siri animasi popular itu sebagai pengalaman yang cukup unik dan satu penghormatan bagi beliau. — DayakDaily