KPDNHEP: Bekalan gula, minyak masak dan tepung mencukupi untuk Hari Raya dan Gawai

Kelihatan Tan (kanan) semasa tinjauan ke pemborong utama GMT di Kuching.
Advertisement

KUCHING, Mei 12: Bekalan gula, minyak masak dan tepung (GMT) di seluruh Sarawak adalah mencukupi untuk pengeluaran purata selama tiga bulan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak menerusi satu kenyataan media hari ini mendedahkan ia berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan terhadap dua pemborong utama GMT di Kuching.

Lawatan pemeriksaan pada Mei 12 diketuai oleh Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan adalah di Lian Hua Seng Sdn Bhd dan IK Rice Sarawak.

Advertisement

“Hasil lawatan pemeriksaan ini, dimaklumkan oleh kedua-dua pengurus operasi pemborong tersebut bahawa bekalan GMT adalah mencukupi untuk pengeluaran purata selama tiga bulan.

“Purata bekalan gula bagi kedua-dua pemborong tersebut adalah sebanyak 1,805.2 metrik tan untuk edaran seluruh rakyat negeri Sarawak sekitar bandar Kuching hingga ke Sibu dan Miri.

“Manakala purata bekalan tepung gandum adalah sebanyak 180.8476 metrik tan juga bagi kegunaan penduduk negeri Sarawak.

“Bagi beras pula, dimaklumkan oleh kedua-dua pemborong purata bekalan untuk edaran keperluan penduduk Sarawak adalah sebanyak 2,068.148 metrik tan,” menurut KPDNHEP.

Pemeriksaan itu bertujuan bagi meninjau dan mendapatkan maklumat berkaitan bekalan GMT bagi keperluan pada bulan Ramadan ini dan musim perayaan yang akan datang iaitu perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Gawai Dayak.

Menurut kenyataan itu lagi, KPDNHEP Sarawak akan terus mempertingkatkan pemeriksaan di peringkat pengilang, pemborong, dan peruncit bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi pada perayaan yang akan datang ini.

Untuk rekod statistik, bagi Januari 1 sehingga Mei 11, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan atas sebanyak 18,566 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar.

Pemeriksaan ini telah menghasilkan keseluruhan sebanyak 417 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM2,449,557.74 dan jumlah kompaun sebanyak RM109,950.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac 18 hingga Mei 11, KPDNHEP Sarawak merekodkan sebanyak 44 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM40,543.71 dan nilai kompaun sebanyak RM20,650. — DayakDaily

Advertisement