KPDNHEP: Bekalan barangan mencukupi, tiada keperluan pembelian panik

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic
Advertisement

KUCHING, 10 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  menggesa orang ramai untuk tidak melakukan pembelian panik.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bekalan barangan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi.

“KPDNHEP mengambil maklum mengenai situasi pembelian panik yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di negara ini.

Advertisement

“Ini mungkin berikutan pengumuman khas yang akan dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadualkan Isnin, mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19, yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, hasil pemantauan setiap hari yang dijalankan juga mendapati semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa.

Katanya, ini telah menyumbang kepada kestabilan dan keberadaan barangan keperluan di dalam pasaran.

“Keadaan ini berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac, 2020 di mana kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran.

“Kementerian sentiasa memantau secara harian keberadaan barangan keperluan pengguna di seluruh negara bagi memastikan barangan-barangan ini sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi di pasaran, sekaligus mampu menampung keperluan pengguna secara berterusan,” ujar beliau.

Antara barangan yang dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.

Jelas Nanta, 12 barang keperluan ini membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR), 1,039 Pemborong Terpilih Daerah (DDW), 223 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) yang merangkumi 222 Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri (DUN). — DayakDaily

Advertisement