KPDNHEP anjur sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan 2022 sepanjang Mac

KPDNHEP logo

KUCHING, 1 Mac: Bulan Mac setiap tahun telah diwartakan sebagai Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK).

Justeru, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan sambutan BPK di seluruh negara sepanjang bulan Mac ini.

“Objektif BPK antara lain untuk memperkasa Pengguna Malaysia agar menjadi lebih cakna dan berdaya upaya dalam pelbagai aspek terutamanya aspek hak dan perlindungan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sambutan BPK adalah bersesuaian dengan sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia (HHPS) yang disambut pada 15 Mac setiap tahun.

Tema tahun ini adalah ‘Fair Digital Finance’ yang bermaksud ‘kesaksamaan dalam kewangan digital’.

Tambah KPDNHEP, penumpuan akan diberikan kepada kesaksamaan dan perlindungan dalam aktiviti kewangan terutama secara atas talian.

“KPDNHEP mengadaptasi tema berkenaan selaras dengan keadaan dan kesesuaian masyarakat pengguna di negara ini iaitu Digitalisasi Pengguna.

“Ia memberi fokus kepada penggunaan transaksi atas talian yang lebih mudah, cepat dan selamat bagi urusan harian,” katanya.

Dalam pada itu, KPDNHEP telah mendahului dalam hal ini melalui inisiatif Pendigitalan Industri Peruncitan (ReDI).

Ia telah dilaksanakan sejak tahun 2021 di seluruh negara termasuk peniaga kecil termasuk di pasar, pasar tani dan pasar malam.

“Pemilihan tema ini bertepatan dengan senario pandemik Covid-19 yang memerlukan sebahagian besar transaksi bayaran, jual beli dan sebagainya dilakukan tanpa sentuhan dan transaksi dalam talian adalah platform yang paling selamat dan efisien,” katanya.

Bagi merancakkan pengisian Bulan Pengguna Kebangsaan 2022, aktiviti dan program dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah.

Ini termasuklah aktiviti komuniti, wacana ilmiah, kembara rakan KPDNHEP, jualan, karnival kepenggunaan, promosi dan pertandingan kepenggunaan. — DayakDaily