Kerajaan diseru segerakan projek jalan di Kapit

Datuk Wilson Ugak Kumbong (file pic)

KUCHING, 1 Mac: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diseru untuk menyegerakan projek jalan dari Rh Ason, Ng Mujong ke Ng Tiau, seterus ke Daerah Baru Bukit Mabong Bahagian Kapit sepanjang 77km.

Pada perbahasan di sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini, MP Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong turut memohon KPLB untuk mempercepatkan projek jalan Rh Nyamuk Sungai Gaat dan ke persimpangan ke Rh Gare Sungai Kain Bahagian Kapit.

“Projek ini merupakan ilham mantan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing dan telah mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan,” katanya.


Beliau turut mengambil perhatian KPLB untuk meluluskan projek jalan Jelalong–Tubau sepanjang 70km.

Projek itu, katanya, telah dipohon pada tahun lepas setelah mengambil kira bilangan penduduk yang dianggarkan seramai 5,000 orang.

Wilson juga bertanya kepada Kementerian Kewangan (MoF) berkenaan jalan akses ke Empangan Baleh Seksyen A4 dan C1-C2.

“Sepatutnya sudah siap pada tahun 2019, namun sampai sekarang masih tidak kelihatan.

“Rakyat cukup marah dan saya dihujani pelbagai soalan oleh rakyat yang mahukan jawapan.

“Apakah tindakan MOF dan agensi pelaksana dalam menyelesaikan perkara ini?” soal beliau. — DayakDaily