KPDNHEP: 4 peniaga didapati salah semasa SHMMP Hari Gawai Dayak

Azman Adam (file pic)

KUCHING, 9 Jun: Pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai Dayak lepas mendapati empat peniaga telah melakukan kesalahan.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam dalam satu kenyataan berkata, ia berkaitan kegagalan meletakkan tanda harga.

“Peniaga juga didapati gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu,” katanya.

Sepanjang tempoh SHMMP Hari Gawai bermula 28 Mei hingga 3 Jun 2021, Azman berkata sejumlah 1,479 premis telah diperiksa di seluruh Sarawak.

Katanya, pematuhan peniaga-peniaga ke atas perundangan semasa pelaksanaan berada pada tahap yang sangat baik.

“KPDNHEP telah mendapat maklum balas orang ramai yang memberi reaksi bahawa pelaksanaan SHMMP di Sarawak pada tahun ini telah berjalan dengan baik dan tiada sebarang isu berbangkit diperingkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Secara umum, ia telah memberi impak positif kepada pengguna dan peniaga serta negara,” ujar beliau lagi.

Sebanyak 11 jenis barang harga terkawal berserta harga maksimumnya telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Hari Gawai 2021. — DayakDaily