KPDNHEP: 3 peniaga di Batu Kawa dikompaun RM100

Pengawai penguatkuasa KPDNHEP memeriksa alat timbang di pasar Batu Kawa.

KUCHING, 13 Julai: Tiga peniaga di Batu Kawa masing-masing dikompaun RM100 kerana menggunakan alat timbang yang tamat tempoh sah.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi satu kenyataan hari ini, kompaun dikenakan serta merta semasa satu pemeriksaan setelah menerima aduan dari orang awam.

“Dalam pemeriksaan oleh penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, tiga orang peniaga pasar basah masih menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh sah,” menurut kenyataan itu.

KPDNHEP memaklumkan bahawa penggunaan penimbang yang tamat tempoh menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

Sepanjang tahun ini, KPDNHEP Sarawak telah mengambil 205 kes di bawah ATS 1972 dengan nilai kompaun sebanyak RM28,700 manakala nilai rampasan adalah sebanyak RM51,106.

KPDNHEP Sarawak juga menyeru kepada semua peniaga supaya memastikan alat timbang dan alat sukatan ditentusahkan untuk tujuan perniagaan.

Dalam pada itu, sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-Aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Sepanjang tempoh PKPP ini, Bilik Gerakan KPDNHEP Sarawak dibuka dari jam 8.00 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan boleh dihubungi di talian 082-466052. — DayakDaily