Kos rawatan hospital di Jeddah mencecah RM100,000, Sarawak Volunteers mohon bantuan

Gambar Dayang Khadijah Awg Zakaria yang disiarkan laman Facebook Sarawak Volunteers.

KUCHING, Feb 9: Persatuan Sukarelawan Sarawak (Sarawak Volunteers) merayu orang ramai membantu keluarga Dayang Khadijah Awg Zakaria yang perlu membayar kos rawatan hospitalnya mencecah RM100,000 ketika di Jeddah, Arab Saudi.

Dalam kenyataan persatuan itu di laman Facebook “Sarawak Volunteers” semalam, Dayang Khadijah yang berasal dari Kampung Semariang Lama di bandaraya ini telah koma sewaktu menunaikan umrah pada 27 Januari lepas.

Beliau kemudian dimasukkan ke Hospital International Medical Centre Jeddah dan kos rawatannya mencecah Saudi Riyal 97,061 atau RM105,572.

“Setelah puan Dayang (Khadijah) stabil, pihak konsulat Malaysia telah berjaya membawa keluar Puan Dayang dan selamat kembali ke Malaysia pada 2 Febuari,” menurut Sarawak Volunteers.

Dayang Khadijah kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan keluarganya memerlukan bantuan menyelesaikan kos rawatannya dengan pihak hospital di Jeddah dalam tempoh 10 hari.


Pihak keluarga telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Sarawak Volunteers bagi mengadakan kutipan dana itu dan persatuan terbabit akan mengemaskini jumlah kutipan setiap hari sehingga jumlah yang dikehendaki tercapai.

Bantuan boleh disalurkan melalui akaun CIMB Islamic – 8603393704 Persatuan Sukarelawan Sarawak dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi persatuan itu di 013-7024670. — DayakDaily