Oleh DayakDaily Team
KUCHING, 9 Sept: Mesyuarat Agung Tahunan Yang Ke-10 Koperasi Permodalan SALCRA Sarawak Berhad (KPSSB) baru-baru ini telah mengisytiharkan pembayaran dividen 15 peratus yang berjumlah RM309,708.45 bagi tahun 2023.
Pengerusinya Dabrin Peter berkata, ia memanfaat seramai 959 anggota koperasi.
“Setakat 31 Julai 2024, seramai 1,128 anggota telah diluluskan dan aktif dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 2.06 juta.
“KPSSB mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 164 peratus kepada RM0.74 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, berbanding dengan RM 0.28 juta pada tahun kewangan sebelumnya,” kata Dabrin pada mesyuarat di Wisma SALCRA, dalam satu kenyataan media.
Mesyuarat juga meluluskan untuk memanfaatkan sumber yang disediakan dalam empat projek baharu bernilai RM 5.0 juta yang dijangka bermula pada tahun 2025.
Antaranya adalah Pusat Pengumpulan Buah Tandan Sawit KPSSB yang ke-2 dan Portable Container System KPSSB yang ke-2 yang akan dibina di Bahagian Serian, pembelian mesin perkakas baharu untuk Pusat Pengumpulan Buah Tandan Sawit KPSSB dan bidang hartanah.
Untuk tahun 2024 tambah Dabrin, KPSSB mensasarkan untuk mencapai keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM0.60 juta dan melebihi RM0.70 juta untuk tahun 2025. — DayakDaily