BAU, Sept 21: Malang menimpa seorang anggota polis apabila dia menemui ajal setelah terlibat dalam kemalangan di KM 8.5, Jalan Bau-Siniawan di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 7.05 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Marekan Sabet, yang berusia 56 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebelum kejadian anggota polis berpangkat Koperal itu sedang memandu kereta Perodua Myvi dari arah Balai Polis Siniawan.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan berkenaan.
“Malang menimpa mangsa apabila dia tercampak keluar dari kereta tersebut dan terjatuh ke dalam sebuah longkang di situ.
“Akibatnya mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepalanya sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba di lokasi kemalangan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson berkata pihak bomba turut berada di tempat kemalangan untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa.
Katanya, siasatan juga mendapati tiada kenderaan lain terbabit dalam nahas berkenaan.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Bau untuk tindakan lanjut.” — DayakDaily