This Content Is Only For Subscribers
KUCHING 24 Jun: Kembara Konvoi Kembara Sarawak Merdeka di Bahagian Kapit meriah, kata Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, kemeriahan sebegini tidak datang selalu di pekan kecil seperti Kapit.
Justeru katanya, semoga sambutan kemerdekaan yang disambut saban tahun akan lebih mengeratkan lagi perpaduan di kalangan rakyat.
“Dataran Kapit dipenuhi bukan sahaja kenderaan konvoi malah penduduk di sini yang turut memberi sorakan dan semangat kepada peserta,” katanya pada upacara ‘flag-off’ konvoi di Dataran Kapit pagi tadi.
Tambah Nanta, kembara kali ini memberikan pengalaman berbeza kepada semua peserta.
Ujar beliau, peserta konvoi berpeluang menjelajah ke bahagian pedalaman termasuk ke rumah-rumah panjang di Sarawak dan melihat sendiri kepelbagaian budaya dan adat yang diamalkan oleh penduduk di Bumi Kenyalang ini.
Dilancarkan oleh Premier Sarawak pada 28 Mei di Lawas, konvoi ini yang dianjurkan bersempena sambutan 60 tahun kemerdekaan Sarawak turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ia menempuhi jarak perjalanan sejauh 3,516 km serta turut menjelajah ke semua Daerah dan Bahagian di Sarawak.
Konvoi dianggarkan mengambil masa 56 hari sebelum menamatkan perjalanan di Bahagian Kuching bersempena dengan sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini.
“Bagi Bahagian Kapit pula, rombongan konvoi telah tiba pada 20 Jun di Rumah Jarop di Daerah Song.
“Manakala bagi daerah Kapit pada 21 Jun di Rumah Jawa dan pada 22 Jun di Rumah Labang bagi daerah Bukit Mabong,” ujar Nanta. — DayakDaily