Konvensyen PKR Sarawak diteruskan — Nik Nazmi

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 16 Nov: Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak yang dijadualkan pada 23 November depan di Miri akan diteruskan.

Pengarah Konvensyen-Konvensyen Negeri Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perbincangan berhubung konvensyen itu telah diadakan sejak September lepas bersama-sama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dengan perbincangan terakhir semalam (14 Nov).

“Seharusnya jika pihak MPN Sarawak percaya dengan semangat demokratik Keadilan, mereka tidak sewenang-wenangnya berhajat untuk membatalkan Konvensyen Negeri Sarawak yang telah dibincangkan dan diputuskan bersama.

“Justeru Konvensyen Negeri Sarawak akan diteruskan di Miri pada tarikh dan masa asal. Komitmen kita kepada disiplin organisasi dan peraturan mesti mengatasi apa-apa tradisi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Berhubung Kongres Nasional AMK yang akan dirasmikan Pengerusi Majlis Penasihat Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nazmi berkata keputusan telah dibuat melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK yang berlangsung pada 20 Oktober.

Justeru, beliau menolak dakwaan yang kongres telah membelakangkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerana secara tradisinya acara ini dirasmikan oleh timbalan presiden parti.

“Seperti yang dinyatakan oleh Ketua AMK Akmal Nasir, keputusan ini telah dibuat melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK yang berlangsung pada 20 Oktober, 2019.

“Dakwaan kejadian ini telah mencemarkan semangat demokratik dalam Keadilan adalah tidak benar, memandangkan keputusan ini diambil melalui mesyuarat,” ujar Nik Nazmi.

Selain itu tambah beliau, kelewatan Azmin dalam memberikan respons setelah diberi masa 6 minggu (surat jemputan bertarikh 11 September, 2019) untuk mengesahkan kehadiran turut menjadi faktor.

Katanya, kegagalan Azmin untuk menghadiri satu pun mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat Keadilan menjadikan situasi semakin buruk.

“Dalam sebuah parti demokratik, menghadiri mesyuarat amat penting agar semua isu boleh dibincangkan.

“Ia juga akan mengelakkan mana-mana individu untuk mengeluarkan kenyataan bercanggah dari keputusan mesyuarat.” — DayakDaily