Kontinjen Sukma Sarawak diminta kembalikan kegemilangan sukan Negeri

Abdul Karim (lima dari kiri) dan Abang Johari (enam dari kiri) pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri kepada Rentap.

KUCHING, 13 Sept: Kembalikan kegemilangan sukan Sarawak dengan muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Berucap di Majlis Penyerahan Bendera Negeri kepada Ketua Kontinjen Sarawak di Sukma ke-20 hari ini, Abdul Karim berkata Sarawak sudah lama tidak muncul juara keseluruhan.

“Bawa balik kegemilangan sukan Sarawak. Kita telah lama tidak muncul juara Sukma untuk lebih 20 tahun sejak 1994, ” katanya.


Pada majlis itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyerahkan bendera Negeri kepada Ketua Kontinjen Dato Gerald Rentap Jabu.

Sementara itu, Abdul Karim yakin pada temasya kali ini kontinjen Sarawak mampu melakukan kejutan memenangi pingat emas dalam acara yang dahulunya didominasi negeri lain seperti acara lumba basikal dan tinju.

“Kekalahan bukanlah pilihan, kita mesti memenangi pingat emas.

“Hanya satu sahaja pasukan yang akan bergelar juara dan lagu ‘Ibu Pertiwiku’ seharusnya dimainkan setelah selesai pertandingan,” ujar Abdul Karim.

Abang Johari dan Abdul Karim merakamkan kenangan bersama atlet Sarawak.

Sarawak mensasarkan kutipan 44 pingat emas pada Sukma ke-20 yang akan bermula secara rasmi pada 17 September depan di Kuala Lumpur.

Kontinjen Sarawak diwakili seramai 564 orang atlet yang akan bertanding dalam 426 acara dari 31 jenis sukan yang akan dipertandingkan.

Sukma ke-20 menawarkan 426 pingat emas dan perak serta 508 pingat gangsa. — DayakDaily