BINTULU, 8 Ogos: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas pelbagai jenis bir dianggarkan bernilai RM619,863 dalam Op Kontraban semalam.
Komandernya ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata sepasukan anggota dari Unit Risikan Marin Bintulu telah menahan sebuah lori kontena yang dilihat mencurigakan di Jalan Lama Bintulu-Miri.
Hasil pemeriksaan pada jam 9 pagi itu mendapati lori kontena tersebut membawa muatan 2,150 kartun bir yang disyaki tiada cukai Kastam.
Siasatan lanjut juga mendapati pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan pemilikan barangan tersebut.
Pemandu lori kemudian ditahan dan bir bernilai RM619,863 dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily