Konsultan rugi RM5,992 ditipu ‘Macau Scam’

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mac 29: Gara-gara panik kononnya terlibat dalam beberapa kes jenayah, seorang konsultan kerugian RM5,992.70 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’.

Wanita berusia 45 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas menyedari tertipu dengan sindiket penipuan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya mangsa tidak membayar cukai kepada pihak kerajaan.

Katanya, suspek juga mengatakan mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram.

“Suspek kemudian memberitahu bagi menyelesaikan masalah tersebut dan untuk mengelakkan mangsa ditangkap dia perlu memindahkan wang ke dalam akaun suspek bagi tujuan siasatan.

“Mangsa yang panik kemudian bertindak memindahkan wang ke dalam akaun bank suspek,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, selepas memindahkan wang tersebut, mangsa telah gagal menghubungi suspek.

Katanya, suspek yang sedar diri ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily