Konsep Ekonomi Digital Sarawak mula menampakkan hasil: Dr Hazland

Dr Hazland Abang Hipni

KUCHING, JUN 10: Konsep Ekonomi Digital Sarawak kini mula menampakkan hasil dan manfaatnya kepada negeri dan masyarakatnya, kata ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkata, ia berlaku dalam tempoh dua tahun sahaja khususnya dari segi pelaburan luar negara, kecekapan pentadbiran dan kemudahan infrastruktur digital selain seminar antarabangsa berkaitan digital.

“Sehingga kini, hampir semua sektor di negeri ini telah beralih kepada teknologi pintar dengan bertukar daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi digital seperti sektor pertanian, pelancongan, bandar pintar, kesihatan, e-dagang, kerajaan digital, pengangkutan dan sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Tambah Dr Hazland, penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion menunjukkan Sarawak serius dalam memastikan agenda dan dasar Ekonomi Digital.

Ia dilaksanakan seperti yang dirancang dan meneroka pelbagai teknologi untuk mempercepat penyambungan digital di negeri ini menjelang tahun 2025.

“Misalnya, Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Voice Recognition, Virtual and Augmented Reality (VR/AR), teknologi dron, e-dagang, e-commerce, e-dagang, cetakan 3D, e-wallet dan sebagainya kini merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat Sarawak dan transformasi ke aras Revolusi Industri 4.0.

“Ini memberi peluang kepada semua masyarakat di negeri ini menikmati asas dan pendekatan digital dalam kehidupan mereka seperti usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), belia dan sebagainya,” ujar beliau.

Dr Hazland menyambut baik inisiatif Kerajaan Sarawak melalui SMA dalam penyambungan digital di seluruh Sarawak seperti diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam Sidang Media dalam talian “Post COVID-19: Sarawak The New Normal” pada Selasa.

Kataya lagi, sewaktu negara menghadapi pandemik Covid-19, teknologi digital mengambil alih peranan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat dilaksanakan dengan membataskan pergerakan dan sentuhan bagi mengelak penularan COVID-19; misalnya pembayaran dan pesanan digital, sidang video secara maya, pembelajaran atas talian dan sebagainya.

“Sudah pasti, dengan kehidupan norma baharu ini, masyarakat akan terus mengguna dan mengaplikasi digital sebagai suatu perkara biasa yang perlu diikuti bagi menjamin kelangsungan hidup.

“Pendekatan atau Dasar Ekonomi Digital ini tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar, bahkan turut meliputi kawasan luar bandar sejajar dengan agenda menjadikan Sarawak sebagai negeri maju 2030 dan hab industri berteknologi tinggi,” tegas Dr Dr Hazland.

Justeru beliau membidas tindakan sesetengah pihak khususnya pembangkang yang mempersendakan idea dan konsep Ekonomi Digital ini yang mereka sifatkan sebagai pembaziran.—DayakDaily