Oleh Chris Bishop
KUCHING, 22 Julai: Pelan Induk Bandar Pintar Sarawak kini dilaksanakan secara berperingkat, bermula di Bandaraya Kuching, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Menurut beliau, ia juga dilaksanakan di Bandaraya Miri dan Bintulu, seterusnya ke bandar-bandar lain.
Katanya, pelan induk ini selari dengan digital blueprint Sarawak, tetapi perlaksanaannya adalah secara berperingkat.
“Sebagai contoh di Kuching, sudah ada fokus kepada pengurusan sisa, keselamatan, aspek kemudahan infrastruktur pintar dimana berubah dari penggunaan 4G ke 5G.
“Kita ada bas yang digerakan oleh hidrogen dan tidak lama lagi kita ada sistem ART juga digerakan oleh hidrogen.
“Sarawak secara berperingkat mengadaptasikan ICT dan teknologi terkini,” katanya dalam sesi Townhall yang diadakan di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu hari ini.
Tambah Awang Tengah, pelan induk bandar pintar adalah bagi mencapai status bandar yang lestari alam sekitar dan moden.
Beliau mengkagumi Bandar Tokyo yang telah lama mengadaptasikan teknologi pintar dalam segala kemudahan infrastruktur di bandar itu.
“Saya melihat Tokyo sebagai sebuah bandar besar dengan populasi tinggi, rakyatnya sangat berdisiplin.
“Teknologinya adalah yang terkini, sistem pengangkutan sangat efisyen manakala ekonomi dipacu oleh ICT dan teknologi,” ujar Awang Tengah.
Seramai 1,500 orang menghadiri sesi Townhall yang diadakan di Dewan Sri Kenyalang. — DayakDaily