Kongsi idea bangunkan Spaoh, kata Uggah

Uggah (tengah) pada Program Jelajah Ramadan di Spaoh. Foto: UKAS

KUCHING, 16 April: Sebuah jawatankuasa di peringkat Kampung Melayu Spaoh perlu ditubuhkan, kata Timbalan Premier Sarawak yang juga Adun Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Uggah berkata, ia bagi melibatkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO), ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK), para wanita dan belia dalam pelaksanaan projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

“Jawatankuasa itu nanti dapat berperanan memikirkan apakah pembangunan yang harus dilaksanakan di Spaoh dalam menambahbaik apa yang telah dilaksanakan selama ini,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Jelajah Ramadan 1444H/2023M anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Spaoh (LAKIS) di Masjid Darul Syifa, Spaoh pada Sabtu.

Sehubungan itu, Uggah menyeru kepada semua masyarakat akar umbi untuk sama-sama melontarkan pandangan agar Kampung Melayu di Spaoh tidak ketinggalan berbanding kampung-kampung lain di Sarawak.

“Kalau orang berjaya di dalam pendidikan, kita juga mahu berjaya di dalam pendidikan. Kalau orang berjaya di dalam perniagaan, kita juga mahu berjaya di dalam perniagaan. Begitu juga aspek-aspek yang lain.

“Supaya, apabila Sarawak menjadi wilayah yang maju pada 2030, kita di Spaoh pun dapat bergerak seiring,” katanya. — DayakDaily