Kong bertekad beri masa 100 peratus untuk Parlimen Lanang

Kong (tengah) bercakap dalam sidang akhbar.

SIBU, April 27: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Lanang, Kelvin Kong bertekad untuk memberikan 100 peratus masa berkhidmat kepada masyarakat di situ sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong itu memberitahu, beliau mahu menjadi ‘pekerja’ kepada rakyat akar umbi jika diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat.

Katanya, apa yang penting bagi dirinya sekarang ialah mendekati para pengundi di kawasan Parlimen tersebut.


“Saya akan berusaha gigih dalam memikat hati pengundi dalam memastikan kerusi Parlimen ini akan menjadi milik BN kelak.

“Falsafah politik saya bukan bermusim, saya akan mendekati penduduk setempat setiap masa dan akan berusaha membela nasib mereka selama ini dipandang sepi oleh pihak pembangkang,” katanya di sini semalam.

Kong menambah, beliau akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada segenap lapisan rakyat di kawasan terbabit sekiranya mendapat mandat dalam PRU14.

Jelasnya, beliau berhasrat untuk membawa lebih banyak pembangunan di kawasan wilayah tengah Sibu demi manfaat rakyat.

“Ini termasuk usaha mempromosikan industri eko-pelancongan di sekitar kawasan Sungai Rajang.

“Ia adalah sesuai dengan latar belakang saya yang berasal dari kawasan sungai berkenaan. Ini supaya pelancong asing mengenali keunikan dan keindahan yang terdapat di Sungai Rajang,” ujarnya lagi. — DayakDaily