KUCHING, Jun 19: Daerah Bau akan terus diperindahkan dengan kali ini melalui pembinaan sebuah Kompleks Pejabat Daerah baharu yang ikonik, menggunakan reka bentuk ‘baruk’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata pembinaan bangunan setinggi tiga tingkat yang dicadangkan itu dijangka menelan kos sebanyak RM7.5 juta.
“Reka bentuk bangunan ini sudah siap dan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Bangunan Negeri untuk kelulusan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan projek tersebut, baru-baru ini yang turut dihadiri Pegawai Daerah Bau, Anielia Sim.
Henry berkata proses pelantikan tender untuk projek tersebut akan dapat dibuat antara Ogos dan September nanti sebaik sahaja reka bentuk bangunan berkenaan diluluskan.
Beliau menambah jika semuanya berjalan lancar, projek ini dijangka dapat dilaksanakan bermula pada penghujung tahun ini, lebih kurang setahun selepas majlis pecah tanahnya pada September 23 tahun lepas.
“Apabila projek ini siap nanti, saya pasti ia akan menjadi mercu tanda yang baharu bagi daerah Bau,” katanya.
Pembinaan kompleks yang baharu ini adalah diperlukan untuk menggantikan bangunan sedia ada yang menempatkan Pejabat Daerah Bau yang sudah berusia lebih 80 tahun. — DayakDaily