Kompaun serta merta jika berada di tempat awam selepas 8 malam di Bintulu

Jack(tiga dari kiri) pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu semalam.

KUCHING, 27 April: Berkuatkuasa 27 April hingga 10 Mei 2021, individu tidak lagi dibenarkan berada di tempat awam selepas jam 8.00 malam di Bintulu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat, ini sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang telah dikemaskini pada Isnin.

“Tiada individu dibenarkan berada di tempat awam selepas jam 8.00 malam tanpa sebab atau alasan yang munasabah.


“Sekiranya gagal memberikan alasan munasabah, individu berkenaan boleh dikenakan kompaun serta merta,” katanya dalam laporan UKAS hari ini.

Jack berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBB Bintulu yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Bintulu semalam.

Tambah Jack, hanya dua isi rumah sahaja dibenarkan keluar dalam radius tidak melebihi 10 km bagi membeli barangan keperluan rumah.

Katanya, mereka dikehendaki ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya bekalan keperluan tersebut tiada dalam radius 10km dari kediaman.

Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu turut memberitahu semua sektor pekerjaan di Bahagian Bintulu diwajibkan melaksanakan amalan bekerja dari rumah.

“Semua sektor pekerjaan juga diwajibkan melaksanakan 70 peratus kakitangannya bekerja dari rumah dan hanya 30 peratus sahaja kehadiran ke pejabat,” ujarnya. — DayakDaily