BAU, 28 Mei: Kopitiam Lui Syn Hiong di Pekan Tondong antara pilihan pengunjung dari Bandaraya Kuching bagi menikmati mee Ah Loong.
Ah Loong, 47, mula berniaga kolo mee seawal usia 18 tahun dengan majoriti penduduk di pekan tersebut berbangsa Cina.
Kini katanya, masyarakat Bidayuh dari perkampungan berdekatan khususnya dari kawasan Singai turut bersarapan pagi di kedai beliau setiap hari.
“Pada hari Ahad, ramai penduduk dari Bandaraya Kuching akan datang untuk makan sama ada kolo mee atau pelbagai jenis mee yang lain.
“Antara pilihan pelanggan adalah kolo mee kering dan sup, ada juga yang mahukan kolo mee spesial,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kolo mee spesial Ah Loong dihidangkan bersama tauhu goreng, wantan dan bebola ikan.
Bagi mee sup pula kata Ah Loong, supnya menggunakan tulang ayam.
Menurut beliau lagi, pemaju hartanah terkenal Sarawak iaitu mendiang Tan Sri Ting Pek King merupakan pelanggan tetap kopitiamnya.
Kata Ah Loong, mendiang Ting gemar memesan wantan sup dan mee goreng kuah tiaw kering.
“Ting kebiasaannya akan datang bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Beliau akan duduk di meja berdekatan dengan stall kolo mee saya.
“Beliau akan memesan makanan kegemarannya, iaitu wantan atau mee goreng kering,” kata Ah Loong.
Jarak Pekan Tondong dari MJC Batu Kawa hanya 19 km dan hanya memerlukan tempoh pemanduan 20 minit sahaja melalui Jalan Pan Borneo.
Pekan ini masih mengekalkan struktuktur lama kayu dan ia satu kawasan wajib singgah jika anda dari perjalanan ke Bau atau Lundu. — DayakDaily