KMKK Pakan mahu Mawan kekal dicalonkan

TR Walter Ahap Tupai

KUCHING, 4 Nov: ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom wajar dicalonkan semula mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri akan datang.

Syor tersebut dikemukakan pengerusi Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Pakan Tuai Rumah Walter Ahap Tupai memandangkan DUN Pakan masih memerlukan wakil rakyat yang benar-benar memahami sistem pentadbiran negeri.

Menurutnya, ini penting bagi merealisasikan pelan pembangunan baharu Pakan yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

“Mawan juga berupaya membawa masuk kira-kira 6,000 ahli baharu ke dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) susulan penyertaannya.

“Sehubungan itu, tindakan pihak tertentu mengusulkan calon lain dari GPS menggantikan Mawan dilihat sebagai tidak mendukung semangat perpaduan dalam GPS.

“Tindakan sebegini bukan sekadar suatu langkah ke belakang, tetapi tidak menghormati prinsip setiakawan dan proses pemilihan calon yang dipersetujui GPS,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Masyarakat di Pakan, kata Walter, inginkan pemimpin yang berdedikasi dan sentiasa komited berkhidmat agar rakyat di Pakan boleh menikmati pembangunan lebih inklusif dan berterusan.

Katanya, calon GPS di Pakan haruslah anggota parti gabungan yang terbukti telah memberi sumbangan dan komitmen tinggi terhadap parti selain mempunyai ciri-ciri integriti dan disukai ramai dalam memastikan kemenangan GPS di DUN Pakan.

Walter turut berpendapat istilah ‘kerusi tradisi’ mana-mana parti dalam GPS tidak wajar timbul dalam menentukan calon pilihan raya.

“Walaupun semua pihak dalam GPS berhak memberi pandangan, tetapi GPS mempunyai formula tersendiri dalam memilih calon terbaik di setiap kawasan.

“Segala keputusan pemilihan dan watikah calon hanya akan dibuat pengerusi GPS (Abang Johari) sahaja,” tegasnya. — DayakDaily