KM tentukan tarikh pilihanraya, kata Awang Tengah

Awang Tengah ketika ditemui di Kuching hari ini (2 Nov 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Nov: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Ketua Menteri yang akan menentukan tarikh Pilihanraya Sarawak Ke-12 (PRN12).

“Tengoklah keadaan, Ketua Menteri yang tahu dan beliau akan menentukan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu beliau telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Rantau Panjang di Kem Eco Sumiran.

Ditanya sama ada terdapat perbincangan berhubung tarikh PRN12 di kalangan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), Awang Tengah enggan mengulas soalan tersebut.

Sebaliknya beliau menjawab bahawa usaha kerajaan yang menyerahkan surat hakmilik tanah kepada rakyat dilakukan pada setiap masa dan tiada kaitan dengan pilihanraya.

“Jadi bila tarikh pilihanraya, ketua menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) akan tentukan,” ujar Awang Tengah.

Pada Jumaat (30 Okt) lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas berkata, Pilihan Raya Negeri Sarawak yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa tidak dapat dielakkan kecuali jika darurat diisytiharkan.

Jelasnya, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir,” kata Muhyiddin.

Tempoh Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak akan berakhir Jun tahun depan berikutan PRN ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016. — DayakDaily